Penjagaan pesakit kanser
Sebut tentang kanser, kebiasaannya tumpuan sering terarah kepada pesakit dan ramai terlupa mengenai sosok penting yang menjadi tulang belakang pesakit itu.
Bukan mudah menjaga pesakit berhadapan dengan penyakit serius kerana penjaga perlu menguruskan pelbagai aspek seperti keperluan fizikal, pengangkutan, kewangan, tugas yang ditinggalkan dan tidak kurang penting, menjaga emosi pesakit.
Ada yang perlu mengorbankan masa mereka untuk pesakit kanser, tidak kurang juga terpaksa mengambil cuti, berhenti kerja dan mengeluarkan perbelanjaan besar bagi membantu pesakit.
Justeru, Penjagaan Kanser Bersepadu diperlukan bagi membantu pesakit kanser dan dalam masa sama penjaga mereka dapat menguruskan pesakit dengan baik.
Menurut Perunding Onkologi Perubatan di Hospital Beacon dan Hospital Avisena, Dr. Azura Rozila Ahmad, Penjagaan Kanser Bersepadu adalah kaedah rawatan kanser menyeluruh (holistik) yang bertujuan untuk menyokong keperluan pesakit kanser termasuk penjaga (caregiver) secara prihatin dan efektif.
“Penjagaan Kanser Bersepadu mengambil kira keperluan selain rawatan seperti kesihatan emosi, jasmani dan juga rohani. Aspek luar daripada kesan perawatan kanser tidak boleh diabaikan dan boleh menjadi faktor penting yang boleh membantu kualiti kehidupan pesakit dan juga penjaga. Malah, penjagaan sebegini dapat memberi sokongan dan keyakinan kepada pesakit untuk meneruskan rawatan,” jelasnya.
Mengulas peluang pesakit kanser tahap empat untuk sembuh, Dr. Azura memberitahu, rawatan kanser moden semakin pesat berubah, menghasilkan banyak rawatan berteknologi tinggi yang lebih efektif yang mampu merubah nasib pesakit kanser.
Ini dapat dibuktikan melalui statistik negara maju seperti United Kingdom menunjukkan kadar sembuh telah meningkat daripada 25 peratus pada 1970-an kepada 50 peratus pada dekad ini.
Tambah beliau, faktor ini berpunca daripada sistem kesihatan mereka telah menjayakan polisi kebangsaan yang komprehensif iaitu ada program saringan awal, pemastian dan pemantauan fasiliti rawatan yang baik, dan pemberian sokongan untuk pesakit (survivorship care).
“Ada juga pesakit kanser tahap empat yang masih lagi boleh sembuh. Pesakit kanser tahap empat seperti penghidap limfoma atau kanser testis yang menerima rawatan yang sesuai masih boleh sembuh. Ada juga pesakit kanser tahap empat yang mempunyai kanser yang tidak banyak merebak daripada kanser primer yang boleh juga disembuhkan.
“Ubat bersasar pertama dunia telah diluluskan oleh badan regulasi ubatan (FDA; Food and Drug Administration) di Amerika Syarikat sejak 1998. Kini, terdapat banyak rawatan bersasar (precision medicine) dalam bidang onkologi.
“Oleh itu, lebih ramai pesakit kanser tahap empat juga mampu mendapat manfaat untuk hidup lebih lama sekiranya mendapat rawatan yang sesuai. Rawatan imunoterapi juga mencetuskan kejayaan rawatan yang tidak disangka-sangka untuk kanser tertentu,” jelasnya.
Selain rawatan, Dr. Azura menegaskan, langkah pencegahan adalah kaedah efektif untuk mengurangkan beban kanser.
Tambah beliau, langkah yang menggalakkan pengesanan peringkat awal juga perlu ditingkatkan.
“Kepentingan gaya hidup dan tabiat makan yang sihat dengan diet seimbang untuk menjamin berat badan yang wajar sepanjang hayat boleh dipraktikkan oleh setiap individu sejak kecil lagi. Bersenam, tidak merokok dan mengurangkan alkohol mesti ditekankan dalam masyarakat supaya kesihatan berterusan terjamin dan mengurangkan kes kanser.
Rawatan alternatif
Selain Penjagaan Kanser Bersepadu, rawatan hospital dan langkah pencegahan, terdapat pesakit dan keluarga mereka memilih rawatan alternatif untuk merawat kanser. Persoalannya, adakah langkah ini efektif? Menurut Dr. Azura, orang ramai hendaklah berhati-hati apabila mempertimbangkan rawatan alternatif.
Pun begitu, rawatan alternatif oleh pakar yang bertauliah sama ada akupunktur, yoga dan meditasi ada bukti menunjukkan keselamatannya dan boleh membantu pesakit berasa tenang dan dapat mengurangkan kesan sampingan rawatan kanser.
“Rawatan alternatif menggunakan ramuan semula jadi mungkin difikirkan lebih selamat dan kurang toksik. Tetapi tanpa piawaian mengenai keberkesanan dan keselamatan yang telus dan dipercayai daripada pihak berkuasa, ada kemungkinan rawatan itu tidak berkesan, malah membahayakan.
“Kita mesti berfikir secara terbuka dan kritikal terutamanya apabila rawatan itu menggunakan pelbagai kaedah luar biasa (contohnya rawatan dengan pemakanan atau minuman khusus atau berpantang atau objek tertentu).
“Berhati-hatilah terutamanya apabila rawatan ini bersandarkan testimoni segelintir pihak mempromosikan secara komersial. Sekiranya berminat mencuba rawatan alternatif, bincangkan hasrat anda dengan doktor yang merawat demi kebaikan,” ujarnya.
Ditanya sama ada pesakit kanser disarankan mengambil vaksin Covid-19? Dr. Azura memberitahu, pesakit kanser dikategorikan di bawah kumpulan yang agak tinggi risiko untuk mengalami jangkitan Covid-19 yang teruk dan berkemungkinan memerlukan rawatan di unit rawatan rapi kerana daya mun yang lemah berbanding dengan orang lain.
“Saranan melengkapkan suntikan untuk pesakit kanser disokong oleh badan-badan kepakaran kanser dari seluruh dunia. Pada amnya, tiada vaksin Covid-19 khusus untuk pesakit kanser. Bagaimanapun, demi keselamatan, bincangkan dengan pakar yang merawat kanser sebelum mendapatkan suntikan,” jelasnya.
Info kanser
di Malaysia
- Kanser merupakan punca kematian kedua di dunia dan di Malaysia sejak 2018.
- Kanser adalah penyebab kematian kedua dunia menyumbang kepada 8.2 juta kes kematian setiap tahun.
- Kes kematian kanser adalah antara penyebab utama kematian di hospital kerajaan dan swasta dan didapati meningkat dari sembilan peratus pada 1996 kepada 14 peratus pada 2015.
Secara umumnya, antara kaedah rawatan untuk kanser termasuk:
- Kemoterapi, (ubat-ubatan kimia)
- Radioterapi, yang dapat mengecilkan tumor dan membantu gejala (sinar radisi)
- Imunoterapi, yang membantu ketahanan sistem imuniti badan melawan kanser
- Pembedahan
- Terapi yang disasarkan (targeted therapy atau precison medicine)
This article was originally published on Utusan Malaysia on Sep 30, 2021